Temu Duga Penerbit Rancangan di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Tahun 2018

Assalamualaikum dan selamat sejahtera gais

Haluuuu.. 

Kali ni tajuk panjang dan kata ganti nama pertama aku nak ubah sikit. Hahahha. Selalu guna 'aku' sebagai kata ganti nama. Hari ni nak tukar. Bukan nak guna 'I', 'sayang', 'darling' atau 'baby', tapi, nak guna kata ganti nama diri pertama 'saya'. Okay. Izinkan aku fake dan sedikit skema dalam penulisan kali ini. Hahaha. Bukan apa, entri kali ni bersifat sedikit ilmiah (ke?) dan mungkin akan dibaca juga oleh mereka yang lebih berusia dari aku, so, tak elok rasanya nak guna 'aku'(Selalu target pembaca adalah golongan kanak-kanak macam aku. Kali ni lain sikit). Oh ya.. Entri kali ni juga agak panjang, sebab kalau boleh nak kupas semua benda (yang sesuai dibincangkan) dengan harapan, ini dapat membantu mereka di luar sana. Kata ganti nama diri pertama 'saya' bermula in 3......2......1.

Baiklah. Saya harap, mereka yang Google kata kunci seperti "temu duga SPA", "temu duga penerbit rancangan", "temu duga kerja kerajaan", "tips temu duga SPA" semua jumpa entri ni. Saya hanya ingin berkongsi dan menyediakan platform untuk membantu anda memandangkan saya juga seperti anda (yang menggugel tu). 

Pertama, saya kenalkan diri saya secara ringkas. 24 tahun lalu saya diberi nama Farihah Abdullah, merupakan calon temu duga jawatan penerbit rancangan gred B41 dan B29 untuk Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), pengambilan di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Lokasi temu duga bertempat di Pusat Temu Duga SPA , Jalan Cenderasari, Kuala Lumpur dan tarikh keramatnya ialah 25 September 2018. Memang sengaja bagi info macam tu supaya kalian tahu, apa yang kalian baca ini datangnya dari zaman bila dan adakah maklumat ini masih relevan mengikut sistem pada masa kalian (Andai kata korang baca entri ni pada tahun 2030).

Sila duduk dan jangan lari.


Pada saat entri ini ditulis, saya hanyalah insan kerdil (saiz tak kerdil) yang menunggu masa untuk bergraduasi dari Universiti Malaya pada 23 Oktober 2018 setelah menamatkan pengajian ijazah sarjana muda. Maknanya, ini merupakan temu duga pertama untuk saya mengorak langkah ke alam kerjaya. Pastinya saya tertanya-tanya apa yang patut dilakukan sebagai persiapan fizikal dan mental. 

Nak baca buku apa? 

Nak cari apa?

Nak tanya siapa? 

Pakaian apa yang sesuai? 

Macam mana nak kelihatan yakin dan kawal gemuruh ketika temu duga? 

Saya akan kongsikan sat lagi apa yang saya buat. 
Ini adalah thread. (Cehh!) 

Bagi pengambilan ke lantikan tetap sebagai penerbit rancangan (skim perkhidmatan bersepadu) melalui SPA pada tahun 2018, setiap calon perlu melalui empat peringkat tapisan setelah terpilih:

Pertama, ujian online. (Jan 2018)

- Melibatkan ujian psikometrik dan pengetahuan am. Ujian psikometrik ni dia akan psiko korang! Takutnya~~ 
Basically ujian psikometrik ni dia nak tahu kecenderungan, minat, sikap, perwatakan kalian sesuai atau tidak untuk jawatan tu. Kebanyakan jawatan pengambilan SPA sekarang ada ujian psikometrik. 130 soalan untuk dijawab dalam masa 20 minit. Semput tak semput?

Kedua, ujian bakat. (Mac 2018)

- Ada tiga bahagian. Pertama, baca berita / rencana. Kedua, mengendalikan siaran langsung / menjadi wartawan /pengulas sukan / juruhebah radio, dan apa dah... Lupa pulak. Ketiga, bentangkan rancangan yang kalian ingin terbitkan. Soalan bergantung pada hari kalian sebab berubah-ubah soalannya.

Ketiga, ujian bertulis dan terjemahan. (Mei 2018)

- Dibahagikan kepada dua bahagian. Pertama, terjemahkan berita atau rencana dalam Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris. Sebolehnya gunakan istilah yang paling sesuai dengan berita tersebut. Kedua, esei. Panjang esei dan jumlah patah perkataan adalah infiniti. Ujian ni kena dengan tarikh 'study week', jadi semangat menjawab ujian bertulis ni macam jawab 'final exam'. (Gituuu...)

Keempat, temu duga.(September 2018)

- Jom kita sembang tentang ni! 

Alhamdulillah, saya lulus kedua-dua gred B41 dan B29 untuk ujian bertulis dan terjemahan. Maka, saya harus menghadapi dua temu duga. Kenapa saya sudah dapat tawaran untuk B41 (pengambilan melibatkan calon yang memiliki ijazah sarjana muda) sedangkan waktu itu saya masih belum tamat belajar di UM? Ketika mengisi permohonan SPA, saya hanya memohon jawatan di SPA8i menggunakan keputusan STPM sebagai yang tahap pengajian yang tertinggi.

Soalan ini saya selalu dapat sama ada daripada kawan-kawan atau pensyarah (bila mereka tengok salinan emel yang saya bagi sebab tak dapat hadir ke kelas masa hari ujian bakat). Jawapannya (setahu saya), jawatan penerbit rancangan melibatkan Skim Perkhidmatan Bersepadu di mana calon dinilai berdasarkan bakat yang dimiliki selain daripada kelayakan akademik. Hal ini boleh dirujuk lebih lanjut dalam laman web SPA di bahagian syarat lantikan.

Sebagai seorang yang 'menanam anggur', saya tak mampu nak beli buku-buku panduan temu duga, tips-tips temu duga kerajaan dan segala bagai yang boleh dibeli di internet. Ada laman web penjual buku tu, katanya, semua rahsia temu duga kerajaan dibongkarkan dalam tu. Bila baca ayat-ayat marketing yang digunakan, mau nya tak menitik air liur. Rujukan lengkap kot! Order, bayar, then papp!! Setel! Dapat semua 'rahsia temu duga'. Disertakan pulak testimoni pelanggan yang katanya akhirnya lulus setelah mendapat panduan daripada buku tu, membuak-buak hati cakap "gimme gimme some more!". Tapi, faham-faham lah. Bukan semua orang mampu (sobs). 

Sejak daripada aman nak jawab ujian online lagi saya jumpa laman web yang menjual buku ni. Sejauh mana kebenaran 'rahsia' tu, wallahualam. Oleh kerana, tiada jalan pintas yang boleh diambil. Saya berjalan melalui denai yang jauh. Memandangkan status terkini sebagai 'penanam anggur', masa ada banyak. Boleh la gunakan masa untuk mencantumkan puzzle ilmu persiapan temu duga. Maka, saya cari maklumat berikut sebagai persediaan untuk ke temu duga.


PEMILIHAN PAKAIAN


Pemilihan pakaian yang sesuai dengan suasana dan mood temu duga adalah benda baru yang saya belajar ekoran peristiwa ini. Pastinya, terima kasih Google kerana menemukan saya dengan artikel-artikel dan post-post yang menunjukkan diriku ke arah yang benar. Selain itu, saya juga follow akaun Facebook, Tuan Rudy Ludinata. Ada banyak perkongsian beliau tentang pakaian yang sesuai untuk temu duga kerajaan. Beliau pun ada keluarkan buku yang boleh dijadikan rujukan, tapi... Ya Allah! Duit tengah ciput tahap keluar rama-rama bila bukak dompet. Baca saja perkongsian percuma di dinding Facebooknya dan laman web lain. (thanks Google)

Antara tips dalam pemilihan pakaian ialah :

Pakaian yang sesuai (wanita)

- Disaran untuk memakai baju kurung biasa. Bukankah lebih ayu dan raudhah bila berbaju kurung?
 
- Baju kurung lebih baik yang kosong dan berwarna gelap seperti biru gelap,  hitam dan coklat untuk menampakkan yang kalian serius dan kena dengan mood. Elakkan warna-warna ceria bagaikan kalian nak pergi kenduri rumah mak cik bawang.
 
- Kalau nak ada corak di baju kurung pun, hendaklah corak yang minimal dan tak lebih daripada tiga warna. Tanpa bling bling, labuci dan ropol-ropol. Hampa bukan nak pergi menari boria tau ni.
 
- Minimakan penggunaan kerongsang untuk mereka yang berhijab. Janganlah pakai kerongsang yang sebesar pengikat langsir rumah untuk nampak menonjol daripada calon lain.
 
- Kasut macam biasa, haruslah bertumit dan biasanya warna hitam. Supaya tampak lebih formal, adalah lebih sesuai jika kasut anda memiliki hujung yang berbentuk U (ladam kuda) berbanding bentuk V (tajam). Ini saya pernah baca dalam Facebook Tuan Rudy. Betulkan saya kalau salah. Kalau kasut longgar, macam biasa. Pergi restroom, ambik tisu lepas tu sumbat dalam kasut macam apa yang saya buat hari tu. Hehehe. Sekurang-kurangnya anda selesa bila berjalan.
 
- Stokin jangan lupa dan sebaiknya ikut warna kasut. Kalau stokin anda berbulu sebab dah lama guna, jangan beli baru. Terbalikkan sahaja dan pakai. Jimat selagi mampu! Namun apa yang penting, pastikan stokin anda bebas daripada bau aromaterapi daripada kaki.

Info tambahan:

Oleh kerana, lazimnya majoriti calon akan memakai baju kurung, anda boleh tampil berbeza dengan mengenakan sut ketika temu duga. Ramai yang takut sebab tak yakin sesuai atau tidak. Sebenarnya boleh. Pakai kemeja, blezer dan skirt panjang atau seluar panjang. Kamu akan tampil berbeza tanpa perlu mengenakan kerongsang atau anting-anting bersaiz pengikat langsir.
 
Saya pakai baju kurung masa temu duga sebab untuk ujian bertulis dan ujian bakat dah pakai sut. Lagipun, baju untuk temu duga dah buat sebelum tahu yang digalakkan rupanya pakai sut. Ahaha. Lambat sikit jumpa Facebook Tuan Rudy.
Lagi satu,  apabila pakai baju kurung, tak perlu pakai blazer lagi sebab baju kurung itu sendiri merupakan pakaian rasmi kebangsaan. Kenapa perlu rasmikan pakaian yang sudah rasmi?

Pakaian yang sesuai (lelaki)

- Sut. Blezer, kemeja, tali leher, seluar panjang, stokin dan kasut. See! Simple.
 
- Blezer dan seluar mestilah sama warna. Warna hitam dan biru gelap adalah warna formal yang sesuai. Blezer adalah wajib untuk lelaki.
 
- Bagi kemeja, lebih cerah warna kemeja bermakna lebih formal. Biasanya lelaki akan pilih warna putih atau biru muda. Elakkan pakai warna-warna ceria seperti merah, kuning, oren, dan warna-warna ceria lain.
 
- Maklumat lanjut tentang tali leher. Rujuk post di bawah ni. Perkongsian dari Tuan Zamzuri Abd Malik dalam group Temu Duga Luar Biasa. 

Kredit kepada Tuan Zamzuri

- Pernah dengar tentang pocket square? Mereka yang pakai sut dengan pocket square ni tampak kacak di mata wanita tau. (Tibber). Sekali lagi saya kongsikan, daripada Tuan Zamzuri.

Dulu saya pun ingat tu sapu tangan~

Aksesori

- Minimakan aksesori. Kepada wanita, tinggalkan gelang emas mami jarum kalian di rumah. Bagi sang arjuna yang suka pakai cincin batu permata di jari, tanggalkan seketika sebelum masuk ke bilik temu duga. Cukuplah sekadar memakai cincin kahwin dan jam tangan.
 
- Saya juga pernah terbaca tentang jam tangan yang sesuai. Jam tangan bertali kulit atau besi adalah yang sesuai. Elakkan pakai jam tangan seperti G-Shock atau Baby-G yang bersaiz besar,  jam tangan bertali getah , serta bertali kain kerana jam-jam tangan ini lebih kasual sifatnya.
 
- PAKAI TANDA NAMA atau NAME TAG. Ikut artikel yang saya baca, pakai name tag membuatkan kalian tampil berbeza. Kos untuk name tag tu dalam RM 5 sahaja (rate harga di Kelantan). 

Saya pergi temu duga hari tu, ramai yang pakai name tag. Tapi tak salah pun kalau pakai, orang senang nak panggil nama sebab sambil tunggu giliran tu, kalian pasti akan berbual dengan orang di sebelah kalian. Sekurang-kurangnya untuk mengurangkan gemuruh.

Penampilan wajah

- Wahai kaum Hawa, solekan tak perlu tebal. Hanya perlukan solekan yang nipis dan asas untuk kelihatan segar. Jangan langsung tak bersolek pula ya.
 
- Kaum Adam, shave bagi nampak handsome misai,  janggut dan jambang anda. Bagi kemas. Rambut jangan lupa sikat dan pakai minyak rambut bagi rapi.

Itu adalah info yang saya dapat dalam usaha mencari penampilan yang sesuai untuk proses temu duga daripada pelbagai sumber. Ada di Facebook, Twitter, laman web, tanya kenalan, serta buku. Saya bukan perunding imej, namun saya kumpulkan semuanya di sini (apa yang saya tahu) untuk rujukan kalian dan saya sendiri di masa akan datang. Mohon betulkan andai ada yang salah. Ini apa yang saya pakai masa hari temu duga, gambar sebenar hari kejadian tak ada. Ni gambar masa baru beli kain, sebelum hantar kedai jahit. Ahahaha

Lebih 3 warna jugak kecuali kalau semua tona biru tu dikira sebagai 'biru' sahaja.

MENCARI MAKLUMAT BERKAITAN UNTUK PERSEDIAAN TEMU DUGA


Bagi mencari maklumat berkenaan pengalaman orang yang dah pernah menghadiri temu duga SPA, saya banyak Google (of course), cari kat Facebook, cari kat Twitter lepas tu saya 'save' post tersebut. Facebook dan Twitter kan laman perkongsian, jadi akan ada yang kongsikan pengalaman mereka di situ dan bingo! Memang ada. cuma ada yang mendapat sambutan dan tak. Tak kisahlah, janji info ada di situ. nak cari ni kena rajin dan gigih. Laman web pun ada banyak.

Saya kongsikan di sini antara yang menjadi rujukan saya:












(yang ni nanti saya akan sembang kat bawah tentang cara susun dokumen untuk temuduga SPA)


Dan banyak lagi! Sikit je yang dalam senarai ni. Satu je, ada masa kena rajin la usaha, kalau yang tak ada banyak masa, kena cari masa untuk buat persediaan. Memang nanti dalam bilik temu duga, kalian akan tetap akan menghadapi detik-detik 'blur', 'blank' dan 'nervous'. Tapi sekurang-kurangnya bila dah bersedia dia akan jadi lain sikit berbanding yang main redah gitu. Kalian tahu apa yang saya maksudkan. Nanti dalam bilik temu duga, semua keluar spontan je. Salah tak salah belakang kira, yang penting yakin. Salah pun yakin. Tapi jangan sampai menyimpang teruk.

CARA SUSUNAN SIJIL


Di atas tadi saya ada kongsikan perkongsian cara susunan sijil. Saya gunakan rujukan itu dan susun ala-ala macam tu. Kalau anda baca di laman ini juga, ada dikatakan susun salinan resume, buat macam buku skrap supaya kelihatan kreatif dan selangkah kedepan. Edit buat muka depan semua. Saya tertarik dengan buku skrap dan saya buat salinan dokumen saya untuk temu duga tu ala-ala buku skrap.

 
Gigih I buat. Tapi.....

Tapi akhirnya, bila sampai ke tempat semak dokumen, ini tak perlu, itu tak perlu. Semua devider, cover depan kena buang. Yang tinggal hanya dokumen semata-mata. Dokumen apa yang SPA nak, dan di'stepler' macam gambar yang mula-mula tadi. So, celah mana nak serlakan kreativiti? Hahaaha.

Actually kat file pun saya buat lebih kurang macam ni, makanya, serlahkan kreativiti dalam file sahaja yang mampu.

Susunan yang betul, tak payah pening-pening. Nak letak SPM dulu baru Ijazah ke, nak letak Ijazah dulu baru SPM ke, nak pengesahan ke tak semua. Tak payah susahkan keadaan yang mudah, ikut sahaja apa yang SPA minta dalam e-mel panggilan temu duga kalian. Mudah bukan? 

Dalam file perlu ada dokumen ini dan disusun begini ikut turutan :

- Kad Pengenalan
- Sijil Kelahiran
- Sijil SPM
- Sijil STPM
- Sijil Ijazah Sarjana Muda dan Transkrip
- Surat Tawaran Biasiswa JPA (untuk dak2 JPA)
- Pengiktirafan akademik MQA
- Sijil kegiatan luar

dalam file tu letak yang original.

Salinan dokumen disusun mengikut turutan :

- Resume berwarna (ringkas dan padat)
- Salinan Kad Pengenalan
- Salinan Sijil Kelahiran
- Salinan Sijil SPM
- Salinan Sijil STPM
- Salinan Sijil Ijazah Sarjana Muda dan Transkrip
- Salinan Surat Tawaran Biasiswa JPA
- Salinan Pengiktirafan Akademik MQA

 Dokumen susun ikut salinan awal-awal supaya nanti tidaklah terkial-kial nak menyusun macam saya hari tu. Sebab banyak sangat yang tak perlu, resume letak dalam file, banyak la nak kena pinda file tu sambil tunggu giliran.


KENAL TEMPAT TEMU DUGA


Sehari atau beberapa hari sebelum hari kejadian (temu duga) pastikan kalian tahu kalian akan ditemu duga di mana. Semak alamat tempat temu duga dalam Waze dan kalau ada masa, pandulah kereta atau tungganglah motosikal anda ke pusat temu duga. Sekurang-kurangnya nanti kalian akan tahu jalan, keadaan trafik dan boleh merancang perjalanan dengan baik. Hal ini dapat membantu kalian pada hari temu duga. Apa yang pasti jalan lambat ke tempat temu duga.

Oh ya! Saya selitkan sedikit di sini. Nanti hari temu duga, kalian akan diberikan nombor giliran. jadi, siapa cepat, dia siap dulu. Tak kisah kalau dalam surat panggilan temu duga kalian dinyatakan masa temu duga pukul 10 atau 11 pagi, kalian boleh datang awal. Ambil nombor dan jadi orang yang terawal di temu duga. 

Temu duga waktu pagi ni lain sikit. Panel penemuduga dan calon temu duga masing-masing tengah 'fresh'. Masa panjang, soalan banyak boleh diulas dan calon boleh tanya soalan kepada panel. Macam saya hari tu, waktu temu duga ikut surat panggilan adalah pukul 11 pagi. Tapi pagi tu kena pergi UM untuk ambil transkrip ijazah sarjana muda kat Seksyen Kemasukan & Rekod (SKR). Lepas ambil transkrip tu kena scan, upload bagai, maka sampai ke pusat temu duga kat Jalan Cenderasari, KL pukul 10 pagi. Lepas ambil angka giliran, saya dipanggil ke bilik temu duga dalam pukul 12 lebih. Masuk untuk temu duga B41 dulu (sebagai calon kedua terakhir untuk hari tu), lepas tu B29 (calon terakhir untuk hari tu). Kedua-dua temu duga dijalankan dalam masa kurang lebih 10 minit. Dah sedia soalan nak tanya panel tapi panel tak cakap pun, "ada apa-apa soalan". Hmm.. Telan je la soalan tu. Bayangkan, tengah rancak, baru dapat mood tu, panel terus "terima kasih". Habis.

Pagi temu duga ngan apa? Apa lagi, rempit dengan baju kurung la. Niat nak naik grab, tapi dah kena pegi UM dulu. Memang bankrup la naik Grab jauh2. Dah la penanam anggur berjaya sekarang ni.

PERSEDIAAN UMUM

Rajinkanlah diri untuk baca buku motivasi untuk tingkatkan keyakinan, positiviti dan ikut rapat-rapat isu semasa. Kita tak pernah tahu soalan yang akan ditanya semasa temu duga dan kebanyakannya, lain soalan yang diramal, lain pula yang ditanya. Macam saya hari tu, kantoi kat 'tagline' RTM. Hahaha. Soalan senang tu yang perangkap. Lain, macam biasa.. Usaha, doa, tawakkal. Orang cakap nak masuk kerja kerajaan kena pakai kabel. Ekk?? Saya pun pakai la kabel. Sis cuba guna kabel paling besar yang duk kat level paling atas. Allah SWT.


Sekian sahaja untuk kali ni. Harapnya sedikit sebanyak membantu. Jarang I nak skema-skema macam ni~ Keputusannya aku dapat atau tidak? Go for the next post.

Comments

Popular posts from this blog

Kelih dialek Ganu nga Klate jak..

Budu Cap Ketereh